Saya orang Melayu. Ya, saya Melayu kerana saya beragama Islam, berketurunan Melayu dan juga mengamalkan cara hidup masyarakat Melayu dan juga berpegang kepada ajaran Islam. Namun, itu bukan bermakna saya bersetuju dengan semua budaya atau pun ciri Melayu.
Mengapa saya berkata sedemikian? Bukankah Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu? Oleh kerana Melayu mesti beragama Islam di negara ini, jadi kesimpulan ini pantas dibuat. Walau bagaimanapun, saya melihat ada amalan masyarakat Melayu yang sangat bertentangan dengan ajaran Islam iaitu ilmu hitam.
ILMU HITAM??? Ilmu hitam atau pun sihir banyak diamalkan dalam masyarakat Melayu. Ada yang bertujuan untuk mendalami ilmu, sebagai pengetahuan mungkin, ada juga mengamalkannya sebagai pendinding atau pun menjaga keselamatan diri, juga sebagai pemangkin untuk mencapai hajat dan tidak kurang juga yang menjadikannya senjata melawan dan menyihir orang lain.
Ilmu hitam ini telah lama diamalkan dalam masyarakat Melayu sebelum datangnya syiar Islam lagi. Oleh itu, ilmu ini seakan sebati dalam kepercayaan Melayu dahulu kala dan tidak dinafikan bahawa ilmu ini kadang kala terbukti berkesan, kerana ia menggunakan bantuan syaitan, iblis dan juga jin bagi melaksanakannya. Oleh itu, masyarakat Melayu yang kurang berpegang pada ajaran Islam yang sememangnya mengharamkan amalan ini cenderung bergelumang dan mengamalkan ilmu ini.
Entri ini ditulis kerana saya dapati banyak unsur-unsur ilmu hitam ini hadir dalam drama dan juga filem Melayu tempatan. Hal ini membuktikan betapa sinonimnya orang Melayu dengan amalan kufur yang membawa syirik ini. Sebagai contoh, drama yang bukan bergenre seram juga turut meletakkan elemen amalan ilmu hitam dalam jalan cerita mereka. 'Tentang Dhia' yang bersiaran di TV3 antara contoh terdekat yang saya lihat. Saya tidak menjangkakan bahawa elemen ilmu hitam ini bakal menjadi plot utama cerita berkenaan sehinggalah hampir 2 minggu kebelakangan ini, jalan cerita drama terbabit banyak mempamirkan penggunaan ilmu hitam dan sihir.
Selain itu, banyak lagi drama dan juga filem khususnya bergenre seram menggunakan atau menampilkan ilmu hitam sebagai jalan utama cerita. Kesannya, masyarakat Melayu semakin percaya atau pun yakin akan mujarabnya ilmu ini walaupun majoritinya masih lagi berpegang teguh dengan ajaran Islam. Kadang-kadang, cerita yang kononnya bertujuan mendidik dan mengandungi nasihat diawal atau di akhir cerita ini seakan-akan mengagung dan menyerlahkan lagi kehebatan ilmu hitam ini. Sungguh IRONI. Ilmu hitam memang wujud. Semua orang tahu, akan tetapi media dan karyawan tidak perlu untuk berlumba-lumba meningkatkan impak atau kesan ilmu terbabit di dalam karya-karya mereka secara melampau.
Entri ini juga ditulis kerana semalam, ada rakan saya yang memberitahu, mungkin saya menjadi mangsa ilmu hitam. Saya tidak mahu mengulas atau bercerita mengenainya namun berdasarkan apa yang saya alami sejak sekian lama, saya tidak menolak mungkin saya telah disihir. Namun, seperti yang wajib kita percaya, tiada kuasa lain yang dapat menandingi kuasa Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di langit dan di bumi. Saya berharap agar orang yang mengamalkan ilmu hitam ini agar segera bertaubat. Tidak guna anda menang di dunia atas tiket bantuan Syaitan sebaliknya di akhirat kelak, anda bakal bersama-sama Syaitan didalam neraka Jahannam..wallahualam..
p/s: rasa takut nak berhujah dengan orang dah lepas ni..kalau tak bergaduh pun jadi mangsa, yang bergaduh tu pun lagi teruk kena..sebab orang yang main ilmu hitam ni sentiasa cari peluang dan sebab untuk dia amalkan/gunakan ilmu dia atas orang lain..ada salah/silap sikit atau memang salah dia sekali pun, dia akan 'test' power dia pada kita..bukan menuduh tapi kalau benar, tolonglah insaf, sebab anda tak tahu apa kesan perbuatan anda..mungkin pada anda, ia hanya mantera biasa, tapi bisa nya bukan anda yang rasa..pikir-pikir la..
(gambar hiasan..tak mau letak gambar-gambar hantu..hanya Allah yang Maha Berkuasa..lagi pun gambar Nora Danish berhijab a.k.a Nur Kamadhia ni lagi ayu dilihat..betul?? hehe..)
No comments:
Post a Comment